SELAMAT MELAYARI BLOG " ANAKGUNUNG"

Para pengunjung yang dihormati sekalian. Blog ini dibangunkan untuk tatapan dan kunjungan anda sekalian bagi bertukar-tukar maklumat dan pengetahuan.

Sebarang kekurangan dan kelemahan, harap mendapat teguran.

Terima kasih

ISI KANDUNGAN

Isi kandungan yang dipaparkan ini merupakan pendapat dan buah fikiran pelbagai pihak.

Cari Blog Ini

Rabu, 22 September 2010

ALAM SEKITAR DAN PENCEMARAN

 Isu tentang alam sekitar sudah sekian lama menjadi bahan perbualan khususnya dalam kalangan pencinta alam dan cendik-pandai. Isu ini menjadi isu global yang dirasai hanpir di seluruh pelusuk dunia. Isu ini sebenarnya mempunyai kaitan langsung dengan kehidupan kita.  sebagai makhluk hidup, udara adalah suatu keperluan dan untuk menjadikan kita sihat dan selesa, udara yang kita sedut mestilah dipastikan benar-benar selamat dan bersih. Satu ketika dulu, kita mendengar bahawa kawasan bandar atau pinggir bandar merupakan kawasan yang sering terancam dengan pencemaran udara sama ada yang terhasil daripada jutaan kenderaan yang menjadi nadi utama di bandar maupun hasil sisa buangan industri yang bertapak di pinggir-pinggir bandar.
Persoalan pencemaran ini semakin hari ternyata semakin meruncing. Ia bukan lagi menjadi persoalan utama masyarakat bandar tetapi sudah mula menular ke kawasan-kawasan luar bandar yang suatu ketika dahulu terkenal dengan kenyamanan udaranya. Pertambahan kenderaan, penerokaan tanah dan pertumbuhan industri sudah mula menjenguk ke kawasan berkenaan. Proses ini tidak dapat dielakkan lantaran kepesatan pembangunan negara dan perubahan corak aktiviti ekonomi utama. Pertanian yang melibatkan penanaman tumbuhan tentu sahaja  menjadi benteng yang mampu mempertahankan kualiti udara kerana fungsinya sebagai penyerap karbon dioksida dan penjana oksigen secara semula jadi. Pembangunan yang berkembang ke kawasan luar bandar mula menampakkan satu pemandangan yang baru.  Kawasan ladang atau sawah yang suatu ketika dulu menghijau kini sudah dipenuhi bangunan kediaman lantaran sudah dimajukan sebagai taman perumahan.  Kita tidak boleh menyalahkan pemilik tanah pertanian tersebut atas tindakan mereka menyerahkan tanah pertanian mereka untuk dimajukan kerana bertahan dengan tanah tersebut tentunya merupakan tindakan yang kurang bijak memandangkan hasil yang diperolehi tidak seberapa akibat pelbagai masalah lain yang perlu mereka hadapi. Kenaikan kos untuk mengusahakan pertanian, misalnya sawah padi, akibat kenaikan harga benih, racun, upah dan sebagainya menjadikan mereka tidak lagi bersemangat untuk meneruskan usaha tersebut.

Kita terpaksa akur dengan keadaan yang semakin berubah tetapi dalam masa yang sama kita juga perlu teliti agar masalah alam sekitar tidak berkembang menjadi masalah yang lebih kritikal suatu hari nanti.  Kewujudan taman-taman perumahan di kawasan pertanian tentunya akan mengecilkan kawasan dan berkemungkinan juga akan mengurangkan pengeluaran bagi sesuatu kawasan. Bagi kawasan sawah padi misalnya, perubahan ini sedikit sebanyak akan mengganggu pengairan di samping mengurangkan produktiviti di kawasan tersebut. Kita tidak menafikan bahawa perubahan kaedah penanaman dan pengurusan sawah mampu mengatasi masalah pengeluaran tetapi suatu perkara yang perli difikirkan  ialah kemampuan petani menggunakan kaedah tersebut lantaran pertambahan kos pengurusan yang perlu ditanggung.

Sebagai insan yang bijak ,kita tidak sekadar merenung kepada sesuatu yang berlaku hari ini tetapi kita juga wajar memikirkan nasib generasi kita pada masa akan datang.

Sama-samalah kita merenungkan perkara ini.....

Ahad, 28 Februari 2010

PUISI MELAYU LAMA

PENGENALAN



Apabila kita mengkaji Kesusasteraan Melayu Lama, sudah tentu kita tidak dapat melepaskan diri daripada terlibat untuk mengkaji satu bentuk karya  yang terdapat dalam bidang tersebut. Bentuk hasil karya yang saya maksudkan itu , tidak lain dan tidak bukan ialah bentuk PUISI.
Puisi adalah istilah yang dipinjam daripada istilah yang digunakan di Indonesia. Puisi digunakan untuk menrangkan bentuk karya berangkap yang mementingkan sajak, irama, suku kata dan pilihan kata.  Karangan seumpama teka teki, pantun, syair, gurindam dan sebaginya adalah tergolong dalam golongan yang diistilahkan sebagai puisi.
Dalam sejarah Kesusasteraan Melayu Lama , bentuk puisi dipercayai merupakan satu-satunya karangan yang paling tua usianya. Antara jenis puisi yang tertua ialah pantun, peribahasa, jampi atau mantera. Ini diikuti pula oleh bentuk seperti syair, gurindam dan seloka.
Secara umum, puisi lama ini mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri. Pada peringkat permulaan, puisi ini tersebar secara LISAN. Walau bagaimanapun, setelah masyarakat mula pandai menulis ia diabadikan dalam bentuk tulisan dengan cara diselit-selitkan dalam karya-karya yang terkemudian. Dalam banyak hal, para pengkaji sejarah kesusasteraan meletakkan status bahawa karya sastera pada ketika itu berada dalam keadaan STATIK. Kenyataan ini ada kebenarannya  kalau kita melihat kepada ciri-ciri yang ada dalam masyarakat Melayu ketika itu. Masyarakat yang ada ketika itu lebih bersifat TERTUTUP ( Close Society). Masyarakat sifatnya sedemikian tentulah begitu lambat mengalami perubahan. Bukti kenyataan ini jelas pada sifat karya yang dihasilkan. Bagi PANTUN misalnya, bentuknya TETAP. Bilangan baris pantun misalnya sentiasa berpasangan. Pantun terdiri daripada dua baris, empat baris, enam baris dan seterusnya dengan dibahagikan kepada bahagian pembayang dan maksud. Sifatnya yang tertakluk kepada pola rima akhirnya menampakkan bahawa bentuknya tidak bebas.
Jika dilihat  kepada pantun dan syair yang merupakan dua bentuk karya yang dipercayai paling popular dalam masyarakat, pantun dikatakan lebih meluas penyebarannya berdasarkan sifatnya yang begitu ringkas dan mudah. Ia berkembang dalam masyarakat biasa. Manakala syair  yang bentuknya lebih rumit kelihatan lebih berkembang di sekitar masyarakat istana.
Demikianlah secara ringkas, saya catatkan sejarah ringkas puisi Melayu lama untuk tatapan bersama. Semoga ia boleh dimanfaatkan .

Rabu, 17 Februari 2010

PUISI TRADISIONAL MELAYU

Puisi tradisional Melayu terdiri daripada pantun, syair, seloka , gurindam , mantera dan sebagainya. Berdasarkan kajian yang dilakukan terdahulu, ramai pengkaji berpendapat bahawa pantun merupakan puisi Melayu yang tertua. Ini berdasarkan sifat-sifat yang dimiliki oleh pantun itu sendiri mencerminkan keasliannya. Sebagai pancaran masyarakat Melayu lama, pantun dikatakan sebagai bahan sastera lisan yang paling meluas penggunaannya dalam masyarakat Melayu dahulu. Ia merangkumi dunia kanak-kanak sehinggalah kepada pantun-pantun yang lebih kompleks bentuknya.
Bermula dengan pantun dua kerat yang dilihat sebagai satu wadah untuk menghibur, isinya memperlihatkan juga pelbagai bentuk simdiran kepada pelbagai pihak. Ini dapat dilihatnya misalnya pada pantun:
Pinjam-pinjam sembilang,
Pinjam-pinjam hilang.

Pantun ini ternyata menyindir segolongan orang yang tidak amanah dan tidak bertanggungjawab terhadap barangan yang telah dipinjam. Selain itu pantun kanak-kanak misalnya berfungsi bukan sahaja berfungsi menghibur tetapi menyindir. Contohnya:
Gendang gendut tali kecapi,
Kenyang perut suka hati.
Pantun empat kerat pula memperlihatkan fungsinya yang lebih meluas. Ia meliputi dunia kanak-kanak, remaja dan juga pelbagai golongan lagi.

Anak rusa nani,
baru kembang ekor,
Apa dosa kami ,
lalu tidak tegur

Buai laju-laju,
sampai balik sana,
Apa dalam baju ,
sekuntum bunga Cina.

Dua rangkap pantun di atas mungkin tidak asing kepada masyaralat terdahulu. Pantun ini sering dijadikan nyanyian ketika mendodoi anak di buaian. Selain itu, mungkin serangkap pantun yang tidak asing lagi kepada orang Melayu ialah yang bertemakan budi. Persoalan budi mungkin persoalan yang agak kompleks dan sering diberi keutamaan dalam kehidupan orang Melayu. Pantun yang dimaksudkan itu ialah:

Pulau pandan jauh ke tengah,
Gunung daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Sifat tamak haloba manusia ada di mana jua. Oleh hal yang demikian , golongan ini turut disindir melalui pantun:

Dalam semak ada duri,
Ayam kuning membuat sarang,
Orang tamak selalu rugi,
Seperti anjing dengan bayang-bayang.

Begitulah serba sedikit tentang pantun Melayu sebagai satu warisan bangsa yang seharusnya dikaji oleh warga Malaysia khususnya orang-orang Melayu. Kajian yang mendalam tentang pantun akan memperlihatkan keunikan masyarakat Melayu satu ketika dulu. Kita sebagai generasi kini sewajarnya mengkaji khazanah yang berharga ini. Jangan biarkan ia hilang ditelan zaman. SELAMAT MENGKAJI.

Sabtu, 30 Januari 2010

Setelah sekian lama negara mencapai kemerdekaan, kemajuan pelbagai bidang ketara di mana-mana jua di negara ini. Perkataan "internet" misalnya, bukan lagi kata yang asing bagi kita, malah nenek-nenek di kampung pun sudah boleh menyebut kata-kata ini. Begitulah perkembangan yang berlaku di sekitar atau dalam kehidupan kita bukan sekadar mengubah cara kehidupan tetapi turut juga  dirasai dalam perkembangan bahasa Melayu.
Ini bermakna bahasa itu sendiri turut mengalami perkembangan terutama sekali dengan pertambahan kosa kata sesuai dengan peredaran zaman. Perkembangan sebegini juga berlaku kepada bahasa-bahasa lain di dunia ini.
Apabila kita melihat kepada kemajuan kini, mungkin ramai di kalangan kita yang sudah lupa bahawa keadaan ini juga selain membawa kebaikan; turut juga menghakis khazanah kita yang sedia ada. Salah satu perkara yang patut kita bersama-sama merenungkannya ialah tulisan jawi. Apa pandangan anda tentang TULISAN JAWI. Marilah kita berkongsi pendapat tentang perkara ini .

Sabtu, 9 Januari 2010

SASTERA SEBAGAI WADAH PENDIDIKAN

Hasil sastera yang dihasilkan oleh karyawan yang secara langsung memaparkan mesej yang positif dalam karya mereka secara langsung memaparkan pelbagai kritikan kepada masyarakat di samping membawa pembaca berfikir . Ini tentunya memberi satu gambaran kepada pambaca bahawa pelbagai persoalan yang berkisar di sekeliling mereka bukanlah merupakan persoalan yang terasing daripada kehidupan mereka sendiri. Mesej tentang keruntuhan nilai kemanusiaan yang semakin hari ditelan jerakusan manusia mengejar kebendaan misalnya, adalah persoalan yang menjadikan masyarakat semakim ketandusan nilai. Oleh hal yang demikian, mendekati hasil sastera tentunya sedikit sebanyak mampu mendidik masyarakat untuk lebih peka kepada persekitaran mereka.
Bagi para karyawan pula , mereka juga memikul tanggungjawab yang besar untuk memjadi golongan yang mampu mendidik masyarakat untuk menanamkan semula nilai-nilai hidup yang murni.  Karya yang bersifat komersial semata-mata mungkin kurang bermakna sebagai wadah mendidik masyarakat.

ANAKGUNUNG: BAHASA JIWA BANGSA

ANAKGUNUNG: BAHASA JIWA BANGSA

Rabu, 23 Disember 2009

PERSEPSI TENTANG BAHASA

Bahasa lahir , berkenbang dan subur dalam masyarakat. Maju atau mundurnya sesuatu bahasa itu banyak bergantung kepada tanggapan masyarakat  yang mengamalkan bahasa itu sendiri terhadap bahasa mereka.  Dalam konteks sebegini elok rasanya kita merenung sejenak kepada bahasa Melayu sebagai bahasa yang telah diwartakan sebagai bahasa rasmi negara.
Dalam usaha memperjuangkan status bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi pelbagai pihak khususnya badan-badan yang terlibat dengan perjuangan bahasa ini berusaha memainkan peranan masing-masing. Ternyatakan segala usaha ini sudah menampakkan hasil yang boleh dibanggakan.
Walaupun begitu masih ramai yang belum dapat mengubah persepsi terhadap bahasa Melayu ini dan dengan sendiri memperlekehkan tentang keupayaan bahasa ini. Perdebatan hebat di kalangan masyarakat apabila isu PPSMI dibahaskan. Lahir golongan yang mempertahankan bahasa Inggeris yang menjadi asas PPSMI dengan pelbagai alasan untuk tujuan itu. Tidak kurang pula hujah yang diberikan oleh satu lagi golongan masyarakat yang tidak mahu PPSMI ini diteruskan. Walau bagaimanapun, keputusan telah dicapai bahawa PPSMI akan dimansuhkan secara beransur-ansur.
Dalam hal ini, bukanlah persoalan PPSMI menjadi pokok kepada kita tetapi sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai jatidiri, kita mestilah yakin bahawa bahasa Melayu sebenarnya sudah mampu memenuhi segala keperluan untuk menjadikan ia bahasa yang diiktiraf. Persoalannya, sebelum kita meminta supaya orang lain mengiktirafnya kita mestilah menjadi orang yang pertama memberi pengiktirafan tersebut.
Betulkan pesepsi kita terhadap bahasa Melayu. Cintailah Bahasa Kita

BAHASA JIWA BANGSA