SELAMAT MELAYARI BLOG " ANAKGUNUNG"

Para pengunjung yang dihormati sekalian. Blog ini dibangunkan untuk tatapan dan kunjungan anda sekalian bagi bertukar-tukar maklumat dan pengetahuan.

Sebarang kekurangan dan kelemahan, harap mendapat teguran.

Terima kasih

ISI KANDUNGAN

Isi kandungan yang dipaparkan ini merupakan pendapat dan buah fikiran pelbagai pihak.

Cari Blog Ini

Rabu, 17 Februari 2010

PUISI TRADISIONAL MELAYU

Puisi tradisional Melayu terdiri daripada pantun, syair, seloka , gurindam , mantera dan sebagainya. Berdasarkan kajian yang dilakukan terdahulu, ramai pengkaji berpendapat bahawa pantun merupakan puisi Melayu yang tertua. Ini berdasarkan sifat-sifat yang dimiliki oleh pantun itu sendiri mencerminkan keasliannya. Sebagai pancaran masyarakat Melayu lama, pantun dikatakan sebagai bahan sastera lisan yang paling meluas penggunaannya dalam masyarakat Melayu dahulu. Ia merangkumi dunia kanak-kanak sehinggalah kepada pantun-pantun yang lebih kompleks bentuknya.
Bermula dengan pantun dua kerat yang dilihat sebagai satu wadah untuk menghibur, isinya memperlihatkan juga pelbagai bentuk simdiran kepada pelbagai pihak. Ini dapat dilihatnya misalnya pada pantun:
Pinjam-pinjam sembilang,
Pinjam-pinjam hilang.

Pantun ini ternyata menyindir segolongan orang yang tidak amanah dan tidak bertanggungjawab terhadap barangan yang telah dipinjam. Selain itu pantun kanak-kanak misalnya berfungsi bukan sahaja berfungsi menghibur tetapi menyindir. Contohnya:
Gendang gendut tali kecapi,
Kenyang perut suka hati.
Pantun empat kerat pula memperlihatkan fungsinya yang lebih meluas. Ia meliputi dunia kanak-kanak, remaja dan juga pelbagai golongan lagi.

Anak rusa nani,
baru kembang ekor,
Apa dosa kami ,
lalu tidak tegur

Buai laju-laju,
sampai balik sana,
Apa dalam baju ,
sekuntum bunga Cina.

Dua rangkap pantun di atas mungkin tidak asing kepada masyaralat terdahulu. Pantun ini sering dijadikan nyanyian ketika mendodoi anak di buaian. Selain itu, mungkin serangkap pantun yang tidak asing lagi kepada orang Melayu ialah yang bertemakan budi. Persoalan budi mungkin persoalan yang agak kompleks dan sering diberi keutamaan dalam kehidupan orang Melayu. Pantun yang dimaksudkan itu ialah:

Pulau pandan jauh ke tengah,
Gunung daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Sifat tamak haloba manusia ada di mana jua. Oleh hal yang demikian , golongan ini turut disindir melalui pantun:

Dalam semak ada duri,
Ayam kuning membuat sarang,
Orang tamak selalu rugi,
Seperti anjing dengan bayang-bayang.

Begitulah serba sedikit tentang pantun Melayu sebagai satu warisan bangsa yang seharusnya dikaji oleh warga Malaysia khususnya orang-orang Melayu. Kajian yang mendalam tentang pantun akan memperlihatkan keunikan masyarakat Melayu satu ketika dulu. Kita sebagai generasi kini sewajarnya mengkaji khazanah yang berharga ini. Jangan biarkan ia hilang ditelan zaman. SELAMAT MENGKAJI.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan